Tuesday, October 14, 2008

Mandat Persidangan Synode Umum PCS Ke-33 Kepada EXCO PCS 2008-2012

Shallom!!! Salam sejahtera kepada semua saudara-saudari ku di dalam Tuhan Yesus Kristus.

Semua perkara yang saya kemukakan ini adalah suatu pandangan dan tanggapan saya secara peribadi dan di dorong oleh keinginan untuk bersama-sama membangun gereja PCS ke arah yang lebih baik dari segi pentadbiran dan pelayanan. Saya memang bukan EXCO dan bukan seorang pemimpin gereja, saya hanyalah seorang Pastor PCS yang senantiasa berdoa agar PCS yang kita cintai ini betul-betul dapat maju di dalam pelayanan bagi kemuliaan nama Tuhan kita Yesus Kristus. Jadi kalau ada kelemahan harap maklum. Saya bukan dan tidak mahu campur tangan dalam pentadbiran Pusat, oleh itu ini hanyalah pendapat saya secara peribadi untuk cadangan atau luahan peribadi semata-mata didalam berjuang bersama memartabatkan gereja kita.

1. Pelaksanaan Penstrukturan Semula (Struktur Baru) PCS

Pada 12hb. April 2008 telah diadakan mesyuarat pembentukan EXCO yang baru mengikut acuan penstrukturan semula pentadbiran PCS sesuai dengan kelulusan Persidangan Synode ke-33 yang telah berlangsung pada 3 – 5hb. April 2008 yang lalu. Kita percaya Allahlah yang telah memilih mereka dan sudah tentu dengan pemilihan itu akan memampukan mereka untuk dapat melayani Tuhan dengan baik menurut rencana dan kehendak Tuhan sendiri.

Sekarang mereka sudah bergumul dengan struktur baru PCS selama 6 bulan. Sudah tentu dalam waktu jangka masa yang demikian belum mencukupi untuk EXCO baru ini menjiwai apa lagi untuk melaksanakan struktur ini di peringkat Parokhi dan Jemaat. Badan Pelaksana Synode yang hanya terdiri dari lapan orang sahaja adalah sangat terhad dan ditambah lagi dengan setiap ahli tersebut mempunyai pelayanannya masing-masing. Walaubagaimana pun mereka sudah tentu dapat mempersiapkan diri dalam semua perkara yang mendesak untuk dilaksanakan dalam pelayanan PCS pada tahun 2009 ini. Memadailah bagi EXCO tahun 2008 ini diambil sebagai masa penyesuaian dan penyusunan semua program atau aktivitinya untuk tahun 2009 nanti.

Kita tidak boleh lagi untuk ragu-ragu bagi melaksanakan struktur baru ini. Kita harus melangkah dengan sebaik mungkin melalui penstrukturan yang baru ini. EXCO perlu memusatkan semua fikiran dan tumpuan kearah yang sama iaitu, melaksanakan mandate yang diberikan oleh Persidangan Synode ke-33 termasuklah dalam melaksanakan struktur baru ini. Dengan itu EXCO haruslah berpegang teguh kepada keputusan Persidangan Synode Umum dan mengisi period ini 2008 – 2012 dengan program-program yang menjurus kearah pelaksanaan penstrukturan semula PCS yang menjadi elemen penting dalam usaha gereja mencapai kemandirian yang bermula pada tahun 2010.

2. Visi dan Misi PCS.

Visi dan misi PCS dirangkumi di dalam tiga bidang utama yang harus mandiri di dalam pelayanan gereja iaitu mandiri dari segi Teologi, Tenaga/Daya dan Kewangan/Dana (Kemandirian Teologi, Tenaga dan Kewangan (KTTK)). Untuk mempastikan ketiga-tiga bidang ini dapat mandiri bersama maka ianya disokong oleh beberapa lagi bidang pelayanan gereja untuk dilaksanakan oleh lima anggota EXCO yang ada; Bidang Keesaan(Pdt. Joseph S. Daang), Bidang Kesaksian dan Pelayanan (Pdt.Janios Masingkai), Bidang Penyelidikan dan Pembangunan (Pst.Christopher H. Ogodong), Bidang Ekonomi dan Kewangan (Ibu Inungkili Magantung), Bidang Pembinaan Warga Gereja (Pdt.Makansim Sikawal).

Untuk ini Presiden, Setiausaha Umum dan Bendahari Umum akan memantau dan mempastikan ketiga-tiga sasaran kemandirian iaitu Teologi (Presiden), Tenaga (Setiausaha Umum) dan Kewangan (Bendahari) akan dapat dicapai di dalam setiap bidang pelayanan yang dilaksanakan oleh gereja. Saya kira tidak ada pertindihan kuasa mahu pun pertindihan pembuat keputusan dalam struktur baru ini. Hanya yang sangat penting adalah EXCO mempastikan tidak ada satu pelayanan pun yang tercicir di dalam pelaksanaan pelayanan di dalam EXCO dan gereja keseluruhannya. Dalam masa yang sama semua ahli EXCO haruslah berganding bahu untuk melaksanakan tugas masing-masing dan tidak salah satu pun dari bidang-bidang dalam EXCO tidak berfungsi atau diabaikan kerana ini akan mencacatkan usaha gereja ke arah mencapai kemandirian yang sesuai dengan visi dan misi PCS.

3. Badan Pengawas Synode

Badan Pengawas Synode juga adalah terdiri dari tujuh anggota sesuai dengan keperluan dalam Badan Pelaksana Synode. Badan Pengawas ini terdiri dari seorang Ketua (En.Matius Alok), Setiausaha (Puan Inobunga Bidin) dan lima anggota yang lain yang masing-masing menjadi pengawas untuk Bidang Keesaan (Tn.Thomas Arinjamal M), Bidang Kesaksian dan Pelayanan (Pst. Efejus Rudin), Bidang Penyelidikan dan Pembangunan ( En.Maklin Mosiou), Bidang Ekonomi dan Kewangan (En.Jota Magain) dan Bidang Pembinaan Warga Gereja (Tpk.Mopilin Injin).

Badan Pengawas mempunyai kuasa dan tanggungjawabnya sendiri yang diluar daripada bidang kuasa EXCO. Badan Pengawas hendaklah mempunyai mesyuaratnya tersendiri dan memiliki tanggungjawab untuk memberikan pandangan dan saranan serta komen yang membina kepada EXCO ke atas bidang masing-masing. Minit Mesyuarat EXCO menjadi tali pengukur kepada Badan Pengawas untuk menilai setakat mana EXCO telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan apakah strategi pelayanan yang dibuat oleh EXCO masih relevan dengan keputusan Persidangan Synode PCS atau sebaliknya.

Badan Pengawas melaksanakan tugasnya dengan berpaksikan kepada Keputusan Persidangan Synode Umum PCS yang lalu. Badan Pengawas juga perlu mendorong dan memberi sokongan kepada EXCO untuk dapat mempastikan EXCO melakukan segala pelayanan sesuai dengan keputusan-keputusan Persidangan Synode Umum PCS ke-33. Badan Pengawas merupakan pendamping dan rakan pelayanan yang rapat dengan EXCO PCS Pusat. Mereka harus tahu perkembangan terkini segala keputusan-keputusan mesyuarat EXCO dan memberikan respon yang positif/membina untuk kelancaran pelayanan EXCO dan gereja keseluruhannya. Walaubagaimana pun mereka berhak untuk menjelaskan kepada EXCO jika ada sebarang keputusan yang meragukan atau yang berpotensi untuk suatu penyelewengan akan terjadi atau suatu aktiviti yang tidak menjurus kepada pelaksanaan keputusan-keputusan Persidangan Synode Umum PCS.

4. Struktur Pengurusan dan Bajet Kewangan PCS di Era Kemandirian 2010

1. Peraturan kewangan dan staff kewangan diperlukan di peringkat Parokhi dan Jemaat.

Peraturan kewangan untuk peringkat Parokhi dan Jemaat haruslah dikuatkuasakan. Jika mana-mana Parokhi yang belum memiliki peraturan kewangan yang konsisten dan meyakinkan semua pihak, PCS Pusat melalui Pejabat Bendahari Umum dan Bidang Ekonomi dan Kewangan haruslah mempastikan kelancaran program kewangan ke arah kemandirian gereja yang bermula sepenuhnya pada tahun 2010. Peraturan pengurusan kewangan boleh didapati di Ibu Pejabat PCS melalui Bendahari Umum PCS Pusat. Peraturan tersebut bolehlah diubahsuai selaras dengan keputusan Majlis Gereja Parokhi dan Majlis Gereja Jemaat. Selepas pengubahsuaian dilakukan hendaklah menyerahkan satu salinan kepada Pejabat Bendahari Umum dan hendaklah diluluskan pelaksanaannya oleh PCS Pusat (Presiden atau Setiausaha Umum dan Bendahari Umum).

Pada masa kini Pendeta Parokhi yang bertugas mempunyai kelonggaran dalam membabitkan diri dalam pengurusan kewangan Parokhi. Namun dalam masa yang sama Pendeta harus melaksanakan semua program penggembalaannya di seluruh jemaat di dalam Parokhinya. Oleh sebab itu tumpuan untuk pengurusan kewangan sebenarnya tidak berada dalam keadaan yang tepat dan berkesan. Malah kadang-kadang Pendeta Parokhi menjadi sasaran kepada penyelewengan kewangan dan ini sudah tentu akan merosakan karakter seorang hamba Tuhan. Dalam perkara ini sudah tentu pengurusan kewangan Parokhi juga turut bertanggungjawab atas kelonggaran dan kelemahan pengurusan kewangannya dan bukan kesalahan atau kesilapan Pendeta Parokhi satu-satunya. Oleh itu untuk mengurangkan keadaan ini berlaku, lebih wajar jika seorang petugas penuh masa atau separuh masa dilantik untuk mengendalikan pengurusan kewangan Parokhi. Ianya hendaklah ditawarkan oleh Majlis Parokhi kepada sesiapa pun yang difikirkan layak untuk mengisi jawatan tersebut. Jika dilantik secara penuh masa maka surat perlantikan hendaklah dikeluarkan oleh PCS Pusat untuk jawatan tersebut dan system penggajiannya diserahkan kepada PCS Pusat sama seperti mana system penggajian Pendeta Parokhi. Tugas-tugas Pengurus Kewangan tersebut hendaklah dibuat oleh Majlis Parokhi itu sendiri.

2. Bajet Kewangan PCS 2009 & 2010

Struktur bajet kewangan gereja yang ada sekarang ini akan hanya bertahan sehingga 2008 sahaja untuk ianya dilaksanakan. Ini kerana bajet untuk tahun 2009 & 2010 adalah suatu bajet persediakan menghadapi arus kemandirian pada tahun-tahun selepas tahun 2010. Oleh sebab itu struktur bajet 2009 dan 2010 haruslah mengarah kepada kemandirian gereja sepenuhnya. Bila penstrukturan semula ini mencorakan pentadbiran dan pelayanan PCS kesleuruhannya maka termasuk struktur bajet kewangan harus berubah menurut penstrukturan semula gereja ini.

Sumber kewangan yang utama untuk PCS Pusat boleh dikategorikan seperti berikut;

1. PCS Pusat
Pendapatan PCS Pusat adalah seperti, Rumah/Tanah Sewa, Ladang Kelapa Sawit, PLKW, PLA, Asrama dan sebagainya, yang ditadbir secara langsung oleh EXCO.

2. Parokhi
Pendapatan Pusat dari parokhi adalah gaji staff dari Parokhi berkenaan, bajet pelayanan di Pusat (pelayanan EXCO dan Staff PCS Pusat, yuran keahliaan/keanggotaan, dan Persidangan/Mesyuarat/Kursus/Seminar) dan penyerahan 10% dari pendapatan parokhi berkenaan(tabung pelayanan Pusat)

3. Jemaat
Pendapatan Pusat dari Jemaat berkenaan adalah gaji staff dari jemaat berkenaan dan penyerahan 10% dari pendapatan tahunan jemaat(tabung pelayanan Pusat).

4. Sumbangan dari Luar & Kerajaan
Pendapatan ini adalah dari Mission 21, penyumbang dari luar Negara dan sumbangan Kerajaan Negeri.

5. Sumbangan Khas & Kebajikan
Sumbangan semasa yang diterima oleh Pusat daripada Parokhi mahu pun jemaat seperti derma becana, projek khusus dan sebagainya yang mempunyai tujuan khusus bagi keperluan kewangan yang dianjurkan oleh PCS Pusat.

Semua ini hanyalah dasar-dasar yang perlu diberikan perhatian oleh pejabat Bendahari Umum PCS Pusat dalam merangkah bajet PCS 2009-2010. Walaupun demikian ini bukanlah saranan yang semestinya diambil bulat-bulat tetapi paling tidak kita boleh bersedia melangkah dalam masa transisi ini menuju kepada struktur baru dan kemandirian gereja kita dengan lebih bersedia lagi.

Manakala untuk bajet perbelanjaan tidak akan banyak berubah ianya hampir sama seperti sedia ada, itemize dan relevan keperluan pelayanan semasa gereja.

Untuk masa akan datang kita akan mengupas sedikit mengenai Pentadbiran dan Pelayanan Parokhi dan Jemaat dalam era transisi dalam penstrukturan semula dan kemandirian gereja 2010.

Thursday, September 25, 2008

Hari Belia dan Konvensyen PCS Labuan

Pada 20-21hb. September 2008, sekali lagi Belia PCS Labuan telah mengadakan Hari Belia dan Konvensyennya. Kita bersyukur kepada TUhan kerana dengan anugerah-Nya kita dapat mengadakan aktiviti ini dengan baik pada tahun ini. Di dalam pengisian bagi aktiviti ini adalah;

1. Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR)
2. Ceramah tema: Belia Pemacu Kemandirian Gereja
3. Pembubaran dan pembentukan Ahli Jawatankuasa Belia sesi 2008-2010

Pada malam dan keesokkannya kita telah mengadakan KKR dengan Kebaktian di pimpin oleh Jastin G. dan Pengkhutbah oleh Ps Daniel Oduhau sendiri. Semuanya terjadi atas kehendak dan pimpinan Tuhan yang maha pengasihi dan penyelamat manusia iaitu Yesus Kristus. Sukacita surga meliputi ibadah kami semua sehingga nama Tuhan dimuliakan.

Dalam pemilihan AJK Belia PCS Labuan sesi 2008-2010, kita telah mendapat hasilnya dan kita percaya Tuhanlah yang telah memilih mereka sehingga mereka dapat melayani dengan baik dan mendatangkan kemuliaan bagi nama Tuhan kita Yesus Kristus. AJK yang dipilih adalah terdiri daripada yang berikut;

Pengerusi: Ev.Jastin G.
Tim.Pengerusi: En.Poloi Jeffery
Setiausaha: Cik.Alvina Wandak
Pen.Setiausaha: Cik.Christyl Noliam
Bendahari: Ev.Samon Majimil

Kita terus doakan AJK Belia PCS Labuan yang baru dipilih ini agar dapat menjadi berkat bagi belia-belia yang lain di dalam jemaah ini. Kasih karunia Tuhan menyertai mereka sehingga mereka dimampukan dan dikuatkan oleh Tuhan untuk dapat memiliki hikmat dan kebijaksanaan dari Tuhan sendiri bagi terus setia melayani Tuhan melalui pelayanan belia di PCS Labuan.

Nota: Maaf gambar-gambar tidak dapat diproses pada masa artikel ini di posting. Sila bersabar!!!

Thursday, September 11, 2008

Pelayanan PCS Di Kalangan Pelajar IPTA dan IPTS

Pada Januari 2007 saya dihantar oleh Pusat untuk melayani di PCS Labuan. Saya mengakui kelemahan saya dan menerima hakikat itu dengan hati terbuka kerana saya mengakui itu sebagai ketentuan Tuhan dan itu panggilannya bagi saya dan keluarga. Saya bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi Tuhan dan bukan untuk manusia semata-mata di PCS Labuan...Tuhanlah yang menyertai saya dan keluarga selama pelayanan kami di PCS Labuan. Walau pun dengan berbagai cabaran dan godaan yang terpaksa dilalui, tapi Tuhan saya, Yesus Kristus adalah Tuhan yang sangat-sangat baik buat kami sekeluarga...persekutuan dan kerjasama yang indah dikalangan anggota jemaah di sini sangat meyakinkan saya untuk tetap setia melayani Tuhan secara fulltime. Saya terfikir untuk berubah kerjaya, kerana saya yakin mampu melakukannya untuk keluarga saya. Dalam masa yang sama ada juga pendapat-pendapat lain dari kalangan rakan-rakan sepelayanan saya, yang menganggap bahawa adalah mustahil saya keluar dari pelayanan sebagai fulltime, kerana sukar dan tidak mendapat kerja ditempat lain dan kesukaran untuk menyara keluarga yang memiliki banyak anak (tanggungan yang tinggi). Pendapat lain, "Biarkanlah dia berhenti, banyak juga pelayan yang akan ganti tempatnya".

Saya masih ingat lagi semasa saya berpindah ke Labuan, isteri saya waktu itu sedang terlantar di hospital Queen Elizabeth dan dia hanya keluar dari wad beberapa minggu selepas saya sudah ada di Labuan waktu itu. Selepas itu kami dikehendaki berulang alik dari Labuan ke KK untuk berjumpa doktor pakar, paling kurang dua kali sebulan. Waktu itu dia dirawat di Othopedik (bahagian rawatan tulang). Selepas itu setelah setahun dirawat di orthopedik kami dipindahkan ke bahagian neurologi(bahagian saraf) sehingga sekarang ini. Bulan Ogos 2008 ini dan mungkin seterusnya kami terpaksa berulang alik seminggu sekali ke Queen untuk pemeriksaan lanjut. Doktor sedar kos perjalanan dan rawatan yang kami tanggung bukan ringan bagi golongan berpendapatan seperti kami. Doktor mengadakan soal selidik mengenai keluarga kami dan dia sudah tahu pendapatan dan tanggungan keluarga saya, "Pastor, kalau begini, lebih baik saya rujuk kamu ke kebajikan hospital", katanya. "Ok, kalau itu saranan doktor, saya menurut saja", saya menanggapi saranan doktor itu. Tapi dalam hati saya, saya sangat terkilan dan terharu sekali, hampir saya menangis tetapi tidak di depan doktor, di tandas awam saya tidak tahan lagi, saya menangis dan berdoa, "Tuhan betulkah ini terjadi kepada hamba Mu". Tetapi saya berterimakasih kepada gereja PCS(Presiden, Setiuausaha dan Bendahari) sebagai majikan saya meluluskan permohonan kebajikan kami untuk membolehkan isteri saya boleh diperiksa darah yang menelan kos RM227.50. Terimakasih juga kepada anggota PCS Kota Kinabalu, Pst. Christopher, Tuan James Tahanji, Pdt.Jensey dan banyak lagi yang menyediakan kenderaan dan tempat tinggal semasa kami di KK. Sehingga sekarang kami dapat melayani seperti biasa tanpa banyak gangguan pelayanan, dan berpuas hati dan bersyukur serta hidup dengan apa yang ada.

Saya bukan menyatakan ini kerana meminta simpati atau sebarang unsur tuntutan atau ketidakpuasan hati..tidak sama sekali. Percayalah...Tuhan tahu hati saya. Hanya menyatakan dengan ikhlas, keadaan hamba-hamba Tuhan dalam PCS, bukan hanya saya seorang sahaja, mungkin. Tapi masa yang sama, saya mengoreksi pelayanan saya secara peribadi, mungkin masih ada yang Tuhan tuntut, yang tidak dapat saya jalankan atau turuti perintah-Nya selama ini dalam pelayanan. Memang ada pun, tetapi saya sendiri tidak atau belum mengerti kehendak Tuhan itu. Tanggungjawab dalam pelayanan semakin saya rasakan bilamana sedang melalui keadaan-keadaan seperti ini.

Saya sedar juga ini mengundang saya lebih bertanggungjawab terhadap pelayanan yang lebih gigih lagi di dalam jemaah yang semakin mencabar tuntutan dan keperluannya. Saya mendahului coretan dalam blog ini dengan keadaan hidup kami sekeluarga sebagai hamba Tuhan dalam Gereja PCS dan masa yang sama masih segar dalam ingatan saya rakan-rakan sepelayanan saya yang sudah lebih awal ambil cuti tanpa gaji atau yang langsung berhenti melayani secara penuh masa; Pdt. Aloi, Pdt. Sintom, Pdt. Francis, Pdt. Justin, P.Tpk.Jaikop, Pst. Joning, Pst. Maslinah, Pst. Noriah, Pst.Firton, dsb. Mereka mungkin ada alasan sendiri mengapa harus berundur dari pelayanan dan saya tidak berhak mencampuri urusan mereka. Tetapi saya harap, saya mampu bertahan sehingga pencen, doakanlah.

Belia yang merupakan pelajar-pelajar kita yang berada di unversiti hari ini adalah pemimpin masa depan dan penggerak hala tuju PCS keseluruhannya. Jadi pelayanan sangat perlu diperhatikan sebaik-baik mungkin. Terimakasih kepada beberapa pelajar PCS yang ada di beberapa universiti tempatan yang kebelakangan ini menghantar sms mahu email kepada saya. Saya menerima beberapa SMS dan e-mail dari para anggota PCS yang merupakan pelajar universiti dan kolej tempatan, mengenai beberapa perkara di antaranya; 1. Dari UMS. "Bagaimanakah bentuk berpuasa itu sebenarnya, sekarang ini saya berbakti di Hope Church dan diadakan hari berpuasa, apakah yang perlu saya buat, sebab saya tidak di ajar sebelumnya? 2. Dari UKM, "Pastor, saya bertemu dengan seorang doktor perubatan kerana saya sakit dan doktor bertanyakan tentang iman saya dan seterusnya dia bersoal jawab tentang agama. Saya jawap apa yang saya tahu, tetapi saya masih kurang yakin tentang jawapan saya, berikan saya nasihat tentang perkara itu". 3. Dari UPM, "Pastor, bagaimana pendapat Pastor bagi kami ini yang berbakti dan melayani di Gereja lain, sebab PCS Shah Alam itu jauh bagi kami? 4. Dari UUM, "Pastor kami di sini pergi ke gereja kharismatik yang ada di sekitar Universiti". Ada beberapa lagi pertanyaan dan laporan yang diterima dari berbagai tempat. Kebanyakan mereka ini yang pernah saya layani sebagai belia semasa sedang belajar di Koleh Matrikulasi Labuan (KML). Saya pasti banyak lagi pelajar-pelajar dari denominasi PCS yang berada di universiti tempatan dan mungkin diluar negara yang perlu sokongan moral, pertumbuhan iman dan layanan dari pihak Pastor dan Gereja PCS. Saya sebenarnya berasa cemburu dengan gereja-gereja lain yang berada disekitar universiti, yang dapat melayani anggota-anggotanya tanpa banyak cabaran dan kekangan ekonomi. Tapi PCS belum dapat melakukannya setakat ini, bukan tidak memperhatikan pelajar-pelajar ini tetapi kekangan tenaga dan ekonomi gereja. Saya berpendapat untuk pelajar PCS yang ada diuniversiti, tidak perlu menunggu PCS ada pelayanan atau gereja disekitar kolej atau universiti di mana mereka belajar barulah beribadah. Pelajar-pelajar PCS bolehlah beribadah digereja lain, jangan saja gereja yang sesat. Kalau di situ ada Gereja Basel, SIB, RC, Hope, Anglikan, berbakti sajalah di situ (saya katakan ini dengan hati yang berat tetapi pasrah dengan keadaan). Tetapi janganlah sampai bila sudah tamat pengajian di universiti lalu menetap di gereja itu sebagai anggota, saya merayu kembalilah ke PCS, ini gereja asal kita dan ini sangat penting bila kamu kembali. Tetapi kalau ada Gereja PCS berdekatan di sekitar universiti kamu, berbaktilah di gereja sendiri, itu lebih baik. Ini yang saya dapat sarankan sebagai Pastor PCS. Sekali lagi jangan tinggalkan PCS, gereja yang sudah dipakai Tuhan untuk menyelamatkan bangsa kita dari terus ketinggalan dan ditinggalkan oleh bangsa-bangsa yang lain.

Kepada pelajar-pelajar yang saya kasihi di dalam Tuhan Yesus, dimana pun kamu berada, Pastor harap kamu belajarlah baik-baik. Lakukan dan berikan yang terbaik untuk Tuhan, keluarga, bangsa, negara dan gereja kita PCS. Mencintai dan mengasihi Tuhan itu bererti juga, kita mengasihi diri kita, keluarga kita, bangsa kita, negara kita dan gereja kita di dalam Tuhan kita Yesus Kristus. Jayakanlah persahabatan kita di dalam Tuhan, selagi masih ada kesempatan, marilah bersahabat, marilah serikan hidup kita dengan kasih persahabatan dari Tuhan Yesus, kerana persahabatan di dalam Yesus kekal selamanya sehingga di syurga. Tuhan Memberkati kamu semua. Amin

Friday, September 5, 2008

Wednesday, September 3, 2008

Kebahagian Suami-isteri bersama anak kekasih mereka

Kami bersyukur kepada Tuhan atas anugerahnya kepada pasangan suami-isteri ini yang juga merupakan Penginjil di Gereja PCS Labuan, orang yang dimaksudkan ialah Ev.Samon Majimil dan Cikgu Rosmarie Jalanon. Mereka telah dikaruniakan seorang anak lelaki yang comel dan bergaya...nikmatilah gambar-gambar terkini mereka.....



Wanita PCS Saluran Berkat Bagi Bangsa Ini...

Shallom!!! Bertemu lagi...Tuhan mengasihi dan menyertai kamu. Amin

Pada 30-31/08/ - 1/9/2008 sekumpulan wanita yang berjiwa rohani, yang cinta kasihnya kepada Tuhan sangat mendalam telah melawat PCS Labuan. Kami sangat-sangat diberkati dengan kunjungan ini. Tuhan menyertai kunjungan mereka dan memberkati mereka sehingga secara peribadi saya yang terharu atas lawatan yang singkat ini. Kumpulan tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Wanita Pusat Yang di Ketuai oleh Ibu Cikgu Nobunga Bidin Pengerusi Wanita Pusat. Wanita-wanita PCS Pusat tersebut adalah terdiri dari Pn.Soliat M, Tim.Pengerusi, Pn. Sinaraling Dawai, Tim.Setiausaha, P.Tpk.Juraya Masandu, Bendahari dan Jawatankuasa yang lain, Pn.Dohomoi Aloi, Pn. Ren Jod, Pn. Jalimah Majimil, Pn. Lisnah Jaikop turut bersama ialah Ibu Mogulizo M. Mereka juga ditemani oleh beberapa lelaki, iaitu Tn.Joniun Atajau dan En.Jostin Mojulou. Keluarga Tn.Joniun ada membawa bersama dengan mereka dua anak perempuannya, Terry dan Timothy.


Pada hari pertama kumpulan wanita ini sampai ke Pulau Labuan pada sekitar jam 7.15pm. Melihat saja mereka sudah terbayang suatu keletihan yang amat sangat. Walaubagaimana pun selepas saja mereka makan malam di Restauran, langsung ke hotel dan mengadakan Mesyuarat Wanita Pusat di hotel berkenaan.

Keesokan harinya jam 10.00am mereka sudah sampai di Gereja PCS Labuan di Kg.Bt. Arang, Jln. Kolam. Mereka menyampaikan kuaya yang sungguh baik yang dipimpin oleh Pn.Jalimah Ronny dan dalam ucapan oleh Pengerusi Wanita Pusat, Ibu Inobunga Bidin, beliau menyatakan rasa syukurnya kepada Tuhan kerana dapat melawat PCS Labuan akhirnya. Dia juga menyatakan rasa terimakasihnya kepada rakan-rakan yang turut serta dalam lawatan ini dan juga kepada rakan-rakan yang belum sempat melawat bersama pada kali ini kerana tetap terus menerus menyokong pelayanan wanita. PCS Labuan yang mempunyai Persekutuan Wanita PCS juga merupakan ladang pelayanan untuk wanita PCS yang harus dikunjungi dan dilayani, tambahnya lagi.

Pada malamnya hari yang kedua, mereka bersama-sama dengan jemaah PCS Labuan telah diundang bersama ke rumah Amai Johnny K. Sokuroh untuk mengadakan Kebaktian Kesyukuran dirumahnya bagi merayakan harijadi Sister Maria M. Bersyukur kepada Tuhan dan terimakasih kepada keluarga Amai Johnny K. Sokuroh atas undangan kepada jemaat PCS Labuan dan para pelawat dari AJK Wanita PCS Pusat. Kebaktian kesyukuran tersebut dikendalikan oleh Ibu Inobunga sebagai pemimpin dan P.Tpk.Juraya Masandu pembawa renungan dari Persekutuan Wanita PCS Pusat sesuai permintaan Keluarga Amai Johnny dan Sister Maria M. Tuhan memberkati persekutuan yang indah pada malam itu dan terjalin begitu mesra di setiap peribadi. Tuhan memberkati dan menyertai keluarga Amai Johnny K. Sokuroh dan juga keluarga Sister Maria M. Semoga mereka terus berjaya dalam perniagaan dan kerjaya masing-masing.

Sebelum pelawat kami pulang mereka sempat bersama-sama dengan kami dalam persekutuan Hari Keluarga PCS Labuan di pantai, di kawasan Mazium Laut Dan Pusat Sukan Laut Antarabangsa Labuan. Hari Keluarga PCS Labuan ini adalah kali yang ke-2 pada tahun 2008 ini. Aktiviti-aktiviti yang kami adakan sangat ringkas, doa, makan bersama dan sukanika bersama. Tuhan kiranya ditinggikan lewat persekutuan seumpama ini.

Kepada para pelawat kami Persekutuan Wanita PCS Pusat, kami sangat diberkati atas lawatan anda semua. Kami pasti wanita adalah insan yang istimewa yang diciptakan Tuhan di muka bumi ini. Wanita diciptakan dan diberikan Tuhan kepada pasangannya lelaki untuk menunjukan bahawa persekutuan yang terjalin itu adalah gambaran kesatuan kita dengan Allah, Bapa kita di syurga di dalam Yesus Kristus dengan persekutuan Roh Kudus. Pelayanan Wanita PCS telah memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan wanita-wanita seluruh PCS, bagi semua bangsa yang ada di dalam gereja kita PCS yang kita cintai ini. Menjadikan wanita-wanita PCS terus dapat bersama-sama dengan gereja dan masyarakat keseluruhannya dalam mendidik dan membekalkan nilai-nilai wanita yang rohani dan dapat mengikuti dan memenuhi tuntutan pelayanan di dalam masyarakat, gereja dan keluargnya. Kita terus berdoa bahawa Wanita PCS menjadi saluran berkat kesatuan, kemesraan dan kerohanian yang tinggi nilainya kepada bangsa-bangsa yang ada di dalam gereja kita PCS.

Kami juga ambil kesempatan ini untuk menyatakan permohonan maaf kami kepada semua terutama kepada para pelawat iaitu Wanita PCS Pusat atas segala kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam pengurusan dan pengendalian kelancaran lawatan tersebut. Kami mohon, semua kekurangan dan kelemahan itu bukan penghalang Wanita PCS Pusat untuk melawat kami pada masa-masa yang akan datang. Terimakasih atas segala sesuatu dan Tuhan memberkati persekutuan kita. Terimakasih kepada semua pelawat khususnya kepada Ibu Inobunga Bidin, Tn.Joniun Atajau, Pengerusi Wanita PCS Labuan Pn.Christina Rasrim, Pengerusi PCS Labuan Ev.Mosibin Makabun, Tn.Patrick Majatig, Amai Johnny K. Sokuroh dan keluarga, Cikgu Jetol Bolongkikik, En.Simon Mosunud, En. Rastim Wahui dan semua anggota jemaah yang lain, pelajar-pelajar ILP dan anggota jemaah PCS Labuan Bandar. Tuhan memberkati pelayanan kamu semua. Jumpa lagi. Amin

Friday, August 15, 2008

Kekangan Yang Menjadi Pemacu Semangat Jemaat PCS Labuan Bandar

Kita amat bertuah berada di negara yagn harmonis dan penuh toleransi. Setiap masalah ditangani dengan penuh pertimbangan yang waras dan masa yang sama dapat mengekalkan keamanan negara. Kita percaya setiap pekerjaan Tuhan yang dimulakan-Nya pasti akan disertai-Nya sehingga sampai bila-bila pun. Kita selalu berpegang pada satu kepercayaan iaitu, yang baik semuanya dari Tuhan tetapi semua yang buruk, berunsurkan kejahatan adalah dari iblis. Tetapi pernahkah kita bertanya dari mana pula asalnya jika perkara itu baik pun tidak, buruk pun tidak? Namun pada akhirnya manusia berusaha memilih yang dikiranya lebih baik, walaupun tetap mengharungi berbagai kesukaran...Rasul Paulus pernah menulis kepada jemaat Titus, "walau pun saya mengalami berbagai cabaran, hinaan dan pukulan secara fizikal mahupun jiwa, saya tetap melihat kehadapan dengan mata yang tertuju hanya kepada Yesus, sebab itu saya melupakan apa yang dibelakang dan mengarahkan kepada apa yang dihadapan yang menjanjikan suatu pengharapan yang pasti yang dijanjikan oleh Allah sendiri kepada mereka yang setia kepada-Nya..".



Inilah sebagaian jemaat Labuan Bandar yang sedang menunggu kebaktian dimulakan.
Kunjungan PCS Pusat ke Jemaat ini pada 27hb Julai 2008. Pdt.Sopirid Masandu sedang menyampaikan ucapan. Turut kelihatan dalam gambar Penasihat Jemaah PCS Labuan Bandar Tn.Patrick Majatig, Pengerusi Majlis Gereja PCS Labuan Ev.Mosibin Makabun, Inai Inongkian Mondorusun Tim.Pengerusi Wanita PCS Labuan, Pdt.Janios Masingkai, Penolong Setiausaha Umum PCS.

Kita bersyukur kepada Tuhan kerana walaupun Jemaat Labuan Bandar baru sahaja bermula dengan penuh penyerahan kepada kehendak dan rencana Tuhan dapat melalui cabaran demi cabaran yang dihadapainya. Ini telah menjadikan jemaat ini boleh bertahan, dapat berkembang dan menjadi saksi bagi Tuhan ditengah-tengah Bandar yang semakin maju ini.

Pada 17hb. Ogos 2008 ini Jemaat ini tidak lagi berbakti tempat yang sama. Dan kesempatan ini pihak PCS Labuan mengucapkan berbanyak-banyak terimakasih kepada Amai Johnny K. Sokuroh yang menyokong permulaan jemaat ini untuk menggunakan tempatnya sendiri buat sementara waktu sahaja. Oleh kerana terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan maka Jemaat PCS Labuan Bandar harus berpindah tempat beribadah. Dengan ini Jemaat muda ini bergumul lagi untuk mencari tempat beribadah yang lebih dapat menyenangkan semua pihak, yang terbaik dan sah. Kita juga mohon maaf kepada pihak-pihak yang berkenaan yang menyebabkan beberapa perkara yang mungkin tidak menyenangkan terjadi, segala kesilapan amatlah dikesali dan diucapkan ribuan terimakasih atas pertimbangan yang telah diberikan.
Dalam pada itu, kita bersyukur atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh Penasihat Jemaat ini Tn.Patrick Majatig dalam meneruskan usahanya untuk mencari tempat beribadah di tengah-tengah Bandar Labuan ini dan usaha ini masih tetap diteruskan sehingga mendapat tempat yang boleh digunakan untuk sementara waktu, sehingga jemaah mampu menyewa permis yang sah di tengah-tengah Bandar Labuan.
Kehadiran jemaat sekarang ini sudah pun mencapai 25 anggota jemaat berbanding pada permulaannya hanya 15 anggota sahaja. Kita doakan agar jemaat ini tabah mengharungi segala cabaran yang dihadapinya dan tentunya sokongan dari semua pihak amatlah diperlukan, iaitu dari PCS Pusat, Majlis Gereja PCS Labuan dan anggota-anggota jemaah Labuan Bandar sendiri. Kita ucapkan terimakasih kepada Pengerusi Jemaat PCS Labuan Bandar En. Jasli Majimbok, yang dengan sabar dan terus melangkah dengan iman dalam membawa jemaat muda ini bertumbuh dalam iman kepada Tuhan Yesus Kristus. Marilah kita terus sokong jemaat ini di dalam doa dan moral, semoga nama Tuhan diagungkan dan dimuliakan melalui pelayanan ini. Tuhan Memberakti.

Pengendali Blog