Monday, June 9, 2008

Perkembangan Pengubahsuaian Tempat Ibadah dan Pemilikan Tanah PCS Labuan

Pada 8hb.Jun 2008 selepas ibadah hari minggu Majlis Gereja telah mengadakan mesyuarat tergempar khusus untuk mengupas dan membincangkan soal pengubahsuaian dan proses pemilikan tanah PCS Labuan. Mesyuarat ini juga diadakan berikutan pihak Pusat telah pun menghantar SMS kepada Majlis Gereja bahawa EXCO telah pun membuat satu resolusi untuk mengatasi masalah pemilikan tanah PCS Labuan. SMS terbaru ini yang juga merupakan keputusan EXCO PCS untuk membayar baki pinjaman pemilik tanah kepada pihak bank di mana geran tanah dijadikan sebagai jaminan bagi pinjaman tersebut. Baki pinjaman tersebut berjumlah RM35 ribu. Dari jumlah tersebut PCS Pusat akan mengeluarkan RM 11 ribu dan PCS Labuan RM24 ribu.

Majlis Gereja PCS Labuan menerima keputusan dan arahan PCS Pusat itu dengan nada positif disusuli dengan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh kedua-dua pihak, PCS Pusat mahu pun PCS Labuan sendiri. Namun pada umumnya semua ahli Majlis Gereja bersetuju PCS Labuan mengeluarkan kewangan tersebut dari Tabung Pembangunan PCS Labuan yang pada asalnya untuk pembiayaan pengubahsuaian tempat beribadah. Dengan keputusan sedemikian maka PCS Labuan memohon kepada Pusat agar ia mempunyai hak yang sama dengan Pusat ke atas tanah di PCS Labuan. PCS Pusat dan PCS Labuan harus ada satu perjanjian yang menyatakan hak bersama terhadap tanah di PCS Labuan. Jika sekiranya PCS Pusat mempunyai rancangan yang baik untuk pelayanan di PCS Labuan yang berkaitan dengan tanah tersebut maka harus ada wakil PCS Labuan untuk dapat mengambil keputusan bersama mengenainya dan demikian juga sebaliknya.

Proses untuk semuanya itu, bertemu dengan peguam, buat perjanjian dengan pemilik asal tanah dan PCS haruslah dilaksanakan seminggu setelah pihak Pusat menerima Surat Rasmi dari Majlis Gereja PCS Labuan mengenai persetujuan Majlis Gereja PCS Labuan untuk langkah drastik pemilikan tanah PCS Labuan ini. Ianya akan disusuli dengan satu pertemuan dan satu surat persefahaman (MoU) antara PCS Pusat dan PCS Labuan hendaklah dibuat secara rasmi.

Kita doakan semoga perjuangan ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar. Demikian juga dengan proses pengubahsuaian bangunan tempat beribadah dapat dilaksanakan dengan baik untuk kemuliaan nama Tuhan kita Yesus Kristus.

Pengendali Blog