Tuesday, October 14, 2008

Mandat Persidangan Synode Umum PCS Ke-33 Kepada EXCO PCS 2008-2012

Shallom!!! Salam sejahtera kepada semua saudara-saudari ku di dalam Tuhan Yesus Kristus.

Semua perkara yang saya kemukakan ini adalah suatu pandangan dan tanggapan saya secara peribadi dan di dorong oleh keinginan untuk bersama-sama membangun gereja PCS ke arah yang lebih baik dari segi pentadbiran dan pelayanan. Saya memang bukan EXCO dan bukan seorang pemimpin gereja, saya hanyalah seorang Pastor PCS yang senantiasa berdoa agar PCS yang kita cintai ini betul-betul dapat maju di dalam pelayanan bagi kemuliaan nama Tuhan kita Yesus Kristus. Jadi kalau ada kelemahan harap maklum. Saya bukan dan tidak mahu campur tangan dalam pentadbiran Pusat, oleh itu ini hanyalah pendapat saya secara peribadi untuk cadangan atau luahan peribadi semata-mata didalam berjuang bersama memartabatkan gereja kita.

1. Pelaksanaan Penstrukturan Semula (Struktur Baru) PCS

Pada 12hb. April 2008 telah diadakan mesyuarat pembentukan EXCO yang baru mengikut acuan penstrukturan semula pentadbiran PCS sesuai dengan kelulusan Persidangan Synode ke-33 yang telah berlangsung pada 3 – 5hb. April 2008 yang lalu. Kita percaya Allahlah yang telah memilih mereka dan sudah tentu dengan pemilihan itu akan memampukan mereka untuk dapat melayani Tuhan dengan baik menurut rencana dan kehendak Tuhan sendiri.

Sekarang mereka sudah bergumul dengan struktur baru PCS selama 6 bulan. Sudah tentu dalam waktu jangka masa yang demikian belum mencukupi untuk EXCO baru ini menjiwai apa lagi untuk melaksanakan struktur ini di peringkat Parokhi dan Jemaat. Badan Pelaksana Synode yang hanya terdiri dari lapan orang sahaja adalah sangat terhad dan ditambah lagi dengan setiap ahli tersebut mempunyai pelayanannya masing-masing. Walaubagaimana pun mereka sudah tentu dapat mempersiapkan diri dalam semua perkara yang mendesak untuk dilaksanakan dalam pelayanan PCS pada tahun 2009 ini. Memadailah bagi EXCO tahun 2008 ini diambil sebagai masa penyesuaian dan penyusunan semua program atau aktivitinya untuk tahun 2009 nanti.

Kita tidak boleh lagi untuk ragu-ragu bagi melaksanakan struktur baru ini. Kita harus melangkah dengan sebaik mungkin melalui penstrukturan yang baru ini. EXCO perlu memusatkan semua fikiran dan tumpuan kearah yang sama iaitu, melaksanakan mandate yang diberikan oleh Persidangan Synode ke-33 termasuklah dalam melaksanakan struktur baru ini. Dengan itu EXCO haruslah berpegang teguh kepada keputusan Persidangan Synode Umum dan mengisi period ini 2008 – 2012 dengan program-program yang menjurus kearah pelaksanaan penstrukturan semula PCS yang menjadi elemen penting dalam usaha gereja mencapai kemandirian yang bermula pada tahun 2010.

2. Visi dan Misi PCS.

Visi dan misi PCS dirangkumi di dalam tiga bidang utama yang harus mandiri di dalam pelayanan gereja iaitu mandiri dari segi Teologi, Tenaga/Daya dan Kewangan/Dana (Kemandirian Teologi, Tenaga dan Kewangan (KTTK)). Untuk mempastikan ketiga-tiga bidang ini dapat mandiri bersama maka ianya disokong oleh beberapa lagi bidang pelayanan gereja untuk dilaksanakan oleh lima anggota EXCO yang ada; Bidang Keesaan(Pdt. Joseph S. Daang), Bidang Kesaksian dan Pelayanan (Pdt.Janios Masingkai), Bidang Penyelidikan dan Pembangunan (Pst.Christopher H. Ogodong), Bidang Ekonomi dan Kewangan (Ibu Inungkili Magantung), Bidang Pembinaan Warga Gereja (Pdt.Makansim Sikawal).

Untuk ini Presiden, Setiausaha Umum dan Bendahari Umum akan memantau dan mempastikan ketiga-tiga sasaran kemandirian iaitu Teologi (Presiden), Tenaga (Setiausaha Umum) dan Kewangan (Bendahari) akan dapat dicapai di dalam setiap bidang pelayanan yang dilaksanakan oleh gereja. Saya kira tidak ada pertindihan kuasa mahu pun pertindihan pembuat keputusan dalam struktur baru ini. Hanya yang sangat penting adalah EXCO mempastikan tidak ada satu pelayanan pun yang tercicir di dalam pelaksanaan pelayanan di dalam EXCO dan gereja keseluruhannya. Dalam masa yang sama semua ahli EXCO haruslah berganding bahu untuk melaksanakan tugas masing-masing dan tidak salah satu pun dari bidang-bidang dalam EXCO tidak berfungsi atau diabaikan kerana ini akan mencacatkan usaha gereja ke arah mencapai kemandirian yang sesuai dengan visi dan misi PCS.

3. Badan Pengawas Synode

Badan Pengawas Synode juga adalah terdiri dari tujuh anggota sesuai dengan keperluan dalam Badan Pelaksana Synode. Badan Pengawas ini terdiri dari seorang Ketua (En.Matius Alok), Setiausaha (Puan Inobunga Bidin) dan lima anggota yang lain yang masing-masing menjadi pengawas untuk Bidang Keesaan (Tn.Thomas Arinjamal M), Bidang Kesaksian dan Pelayanan (Pst. Efejus Rudin), Bidang Penyelidikan dan Pembangunan ( En.Maklin Mosiou), Bidang Ekonomi dan Kewangan (En.Jota Magain) dan Bidang Pembinaan Warga Gereja (Tpk.Mopilin Injin).

Badan Pengawas mempunyai kuasa dan tanggungjawabnya sendiri yang diluar daripada bidang kuasa EXCO. Badan Pengawas hendaklah mempunyai mesyuaratnya tersendiri dan memiliki tanggungjawab untuk memberikan pandangan dan saranan serta komen yang membina kepada EXCO ke atas bidang masing-masing. Minit Mesyuarat EXCO menjadi tali pengukur kepada Badan Pengawas untuk menilai setakat mana EXCO telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan apakah strategi pelayanan yang dibuat oleh EXCO masih relevan dengan keputusan Persidangan Synode PCS atau sebaliknya.

Badan Pengawas melaksanakan tugasnya dengan berpaksikan kepada Keputusan Persidangan Synode Umum PCS yang lalu. Badan Pengawas juga perlu mendorong dan memberi sokongan kepada EXCO untuk dapat mempastikan EXCO melakukan segala pelayanan sesuai dengan keputusan-keputusan Persidangan Synode Umum PCS ke-33. Badan Pengawas merupakan pendamping dan rakan pelayanan yang rapat dengan EXCO PCS Pusat. Mereka harus tahu perkembangan terkini segala keputusan-keputusan mesyuarat EXCO dan memberikan respon yang positif/membina untuk kelancaran pelayanan EXCO dan gereja keseluruhannya. Walaubagaimana pun mereka berhak untuk menjelaskan kepada EXCO jika ada sebarang keputusan yang meragukan atau yang berpotensi untuk suatu penyelewengan akan terjadi atau suatu aktiviti yang tidak menjurus kepada pelaksanaan keputusan-keputusan Persidangan Synode Umum PCS.

4. Struktur Pengurusan dan Bajet Kewangan PCS di Era Kemandirian 2010

1. Peraturan kewangan dan staff kewangan diperlukan di peringkat Parokhi dan Jemaat.

Peraturan kewangan untuk peringkat Parokhi dan Jemaat haruslah dikuatkuasakan. Jika mana-mana Parokhi yang belum memiliki peraturan kewangan yang konsisten dan meyakinkan semua pihak, PCS Pusat melalui Pejabat Bendahari Umum dan Bidang Ekonomi dan Kewangan haruslah mempastikan kelancaran program kewangan ke arah kemandirian gereja yang bermula sepenuhnya pada tahun 2010. Peraturan pengurusan kewangan boleh didapati di Ibu Pejabat PCS melalui Bendahari Umum PCS Pusat. Peraturan tersebut bolehlah diubahsuai selaras dengan keputusan Majlis Gereja Parokhi dan Majlis Gereja Jemaat. Selepas pengubahsuaian dilakukan hendaklah menyerahkan satu salinan kepada Pejabat Bendahari Umum dan hendaklah diluluskan pelaksanaannya oleh PCS Pusat (Presiden atau Setiausaha Umum dan Bendahari Umum).

Pada masa kini Pendeta Parokhi yang bertugas mempunyai kelonggaran dalam membabitkan diri dalam pengurusan kewangan Parokhi. Namun dalam masa yang sama Pendeta harus melaksanakan semua program penggembalaannya di seluruh jemaat di dalam Parokhinya. Oleh sebab itu tumpuan untuk pengurusan kewangan sebenarnya tidak berada dalam keadaan yang tepat dan berkesan. Malah kadang-kadang Pendeta Parokhi menjadi sasaran kepada penyelewengan kewangan dan ini sudah tentu akan merosakan karakter seorang hamba Tuhan. Dalam perkara ini sudah tentu pengurusan kewangan Parokhi juga turut bertanggungjawab atas kelonggaran dan kelemahan pengurusan kewangannya dan bukan kesalahan atau kesilapan Pendeta Parokhi satu-satunya. Oleh itu untuk mengurangkan keadaan ini berlaku, lebih wajar jika seorang petugas penuh masa atau separuh masa dilantik untuk mengendalikan pengurusan kewangan Parokhi. Ianya hendaklah ditawarkan oleh Majlis Parokhi kepada sesiapa pun yang difikirkan layak untuk mengisi jawatan tersebut. Jika dilantik secara penuh masa maka surat perlantikan hendaklah dikeluarkan oleh PCS Pusat untuk jawatan tersebut dan system penggajiannya diserahkan kepada PCS Pusat sama seperti mana system penggajian Pendeta Parokhi. Tugas-tugas Pengurus Kewangan tersebut hendaklah dibuat oleh Majlis Parokhi itu sendiri.

2. Bajet Kewangan PCS 2009 & 2010

Struktur bajet kewangan gereja yang ada sekarang ini akan hanya bertahan sehingga 2008 sahaja untuk ianya dilaksanakan. Ini kerana bajet untuk tahun 2009 & 2010 adalah suatu bajet persediakan menghadapi arus kemandirian pada tahun-tahun selepas tahun 2010. Oleh sebab itu struktur bajet 2009 dan 2010 haruslah mengarah kepada kemandirian gereja sepenuhnya. Bila penstrukturan semula ini mencorakan pentadbiran dan pelayanan PCS kesleuruhannya maka termasuk struktur bajet kewangan harus berubah menurut penstrukturan semula gereja ini.

Sumber kewangan yang utama untuk PCS Pusat boleh dikategorikan seperti berikut;

1. PCS Pusat
Pendapatan PCS Pusat adalah seperti, Rumah/Tanah Sewa, Ladang Kelapa Sawit, PLKW, PLA, Asrama dan sebagainya, yang ditadbir secara langsung oleh EXCO.

2. Parokhi
Pendapatan Pusat dari parokhi adalah gaji staff dari Parokhi berkenaan, bajet pelayanan di Pusat (pelayanan EXCO dan Staff PCS Pusat, yuran keahliaan/keanggotaan, dan Persidangan/Mesyuarat/Kursus/Seminar) dan penyerahan 10% dari pendapatan parokhi berkenaan(tabung pelayanan Pusat)

3. Jemaat
Pendapatan Pusat dari Jemaat berkenaan adalah gaji staff dari jemaat berkenaan dan penyerahan 10% dari pendapatan tahunan jemaat(tabung pelayanan Pusat).

4. Sumbangan dari Luar & Kerajaan
Pendapatan ini adalah dari Mission 21, penyumbang dari luar Negara dan sumbangan Kerajaan Negeri.

5. Sumbangan Khas & Kebajikan
Sumbangan semasa yang diterima oleh Pusat daripada Parokhi mahu pun jemaat seperti derma becana, projek khusus dan sebagainya yang mempunyai tujuan khusus bagi keperluan kewangan yang dianjurkan oleh PCS Pusat.

Semua ini hanyalah dasar-dasar yang perlu diberikan perhatian oleh pejabat Bendahari Umum PCS Pusat dalam merangkah bajet PCS 2009-2010. Walaupun demikian ini bukanlah saranan yang semestinya diambil bulat-bulat tetapi paling tidak kita boleh bersedia melangkah dalam masa transisi ini menuju kepada struktur baru dan kemandirian gereja kita dengan lebih bersedia lagi.

Manakala untuk bajet perbelanjaan tidak akan banyak berubah ianya hampir sama seperti sedia ada, itemize dan relevan keperluan pelayanan semasa gereja.

Untuk masa akan datang kita akan mengupas sedikit mengenai Pentadbiran dan Pelayanan Parokhi dan Jemaat dalam era transisi dalam penstrukturan semula dan kemandirian gereja 2010.

Pengendali Blog