Thursday, November 6, 2008

Belia Pemacu Kemandirian Gereja PCS




Dasar Firman Tuhan Teks: Hakim-Hakim 6:1- 40
TEMA:BELIA PEMACU KEMANDIRIAN GEREJA PCS


Masa tidak pernah Menunggu kita, masa juga tidak pernah berundur ke belakang. Demikian juga dengan masa hidup kita, tidak pernah berulang. Malah MASA menyebabkan kita semakin tua dan terus tua dan akhirnya….pergi menghadap Bapa disyurga. Oleh sebab itu pergunakanlah setiap kesempatan yang masih ada PADA MASA MUDA INI untuk melakukan segala jenis kebaikan dari, bersama dan untuk Tuhan kepada semua orang, kepada gereja, bangsa dan negara, bagi kemuliaan Tuhan kita Yesus Kristus.

A. Mengapa Belia Merupakan Pemacu Kemandirian Gereja?

1. Kekuatan yang diberikan Tuhan luarbiasa pada masa muda
Pada masa muda belia, tenaga, pemikiran, kecekapan dan segala kemampuannya yang dikurniakan Tuhan berada pada tahap maksimum dan tahap kecergasan yang tertinggi dari segala graft masa hidup seseorang.

2. Kemahirannya yang dimiliki generasi muda dapat memenuhi tuntutan dan keperluan pelayanan gereja masa kini..

Walauapa pun bidang yang ada, ahli-ahli profesional di arena pendidikan akademik, perniagaan, perkhidmatan di sektor awam dan swasta, politik dan pertubuhan/badan bukan Kerajaan (NGO), mempunyai potensi yang tinggi sebagai pelayan/tenaga sokongan kepada pelayanan gereja secara langsung mahu pun tidak secara langsung yang dapat memenuhi keperluan pelayanan dalam gereja.

3. Golongan yang terbesar di dalam Gereja

Tidak dapat dinafikan bahawa golongan belia atau generasi muda ini merupakan golongan yang terbesar dalam gereja kita. Hampir 70% anggota PCS adalah golongan muda dan yang berpendidikan dan berpekerjaan tetap dalam PCS adalah 90% darinya adalah dari golongan muda juga.

4. Mampu Merealisasikan Misi dan Visi Gerejanya

Visi dan Misi Allah yang merupakan inti dari keberadaan-Nya sendiri iaitu KASIH, yang mahu menyelamatkan manusia dari segala sudut fizikal mahupun secara jiwanya malah segala isi dunia ini berada dalam misi dan visi penyelamatan Tuhan sendiri. Gereja menjadi alat Tuhan dalam melaksanakan perkara ini dan itu yang utama (Mat. 6:33) dan PCS dipanggil juga oleh Allah untuk merealisasikan misi dan visi-Nya ini. Oleh itu jika dianalisis dari segi statistik tersebut diatas kita boleh katakan jatuh bangunnya pelayanan gereja PCS berada di tangan generasi muda dalam gereja. Kita mampu dan dimampukan oleh Tuhan menjadi alat bagi-Nya untuk PCS mencapai visi dan misi-Nya ini.

5. Pemimpin Pelapis dan Penerus Pelayanan bagi Gereja Tuhan.

Kalau bukan generasi muda yang ada sekarang siapa lagi yang akan meneruskan pelayanan dan kepimpinan gereja PCS. Generasi muda sekarang memiliki potensi yang besar untuk menggalas/memikul tanggungjawab dan panggilan Tuhan yang dimandatkan Tuhan untuk Gereja PCS ini.

B. Bagaimana Belia Yang Dapat Menjadi Pemacu Kemandirian Gereja?

• Belia yang telah lahir baru –Yoh. 3: 3 & 5; Tit. 3: 4-5.
• Belia yang setia kepada panggilannya –Why.17:14; 2 Ptr. 1: 10; Maz 31: 24;
• Belia yang memiliki komitmen yang tinggi di dalam pelayanan -2Tim. 2: 3 & 10; Kol. 3:23.
• Belia yang hidupnya rela dipakai Tuhan –Ef. 6:13-15; 1 Taw. 28:9;
• Belia yang memiliki visi dan misi bagi Tuhan di dalam Gereja –Mat.28: 18-20; Kis. 13: 47.


B.1 Belia Yang Lahir Baru
Yoh. 3: 3 & 5; Tit. 3: 4-5.

• Percaya dan Mengaku menerima Yesus dalam hidupnya –Rom 10:9-10; Yoh. 1:12.
• Sikap yang memiliki iman, pengharapan dan kasih -1Kor.13: 13; Ibr. 11: 6;
• Memiliki usaha dan ketekunan yang tinggi –Fil. 3:12; Ibrani 12: 1-2;
• Mampu mempertahankan iman dan panggilannya –Kol.1:23; Why. 2: 10;
• Belia yang berasa dipanggil untuk membantu pelayanan di gereja –Pkh.12: 13;
• Belia yang bersahsia tinggi dan rendah hati dalam mempelajari sesuatu yang perlu dalam gereja –Kol. 3: 12-17; 1Pet. 5: 5-7; 2Pet. 1:5-7.
• Rela mengakui kesilapan dan rela mengampuni orang lain -1Yoh.1: 9; Kol. 3: 13.

B.2 Belia yang setia kepada panggilannya
Why.17:14; 2 Ptr. 1: 10; Maz 31: 24; Why. 2: 4-5 & 10.

• Hidupnya telah didekasikan untuk berbakti kepada Tuhan dan gerejanya
• Dalam hatinya senantiasa ingat akan firman Tuhan yang telah memanggil-Nya untuk hidup dalam keadaan dimana dan pada masa ia dipanggil Tuhan
• Belia yang setia kepada perkara kecil untuk mempersiapkan diri kepada perkara-perkara yang lebih besar –Luk. 19: 17.
• Belia yang memiliki komitmen yang konsisten dan jitu dalam gerejanya, tanpa dipengaruhi oleh ganjaran yang bercorak keduniawian atau sementara
• Kesetiaannya kepada Tuhan digambarkan dengan kesetiaannya kepada gereja dimana ia telah dipanggil keluar dari kuasa dosa kepada penyelamatan di dalam Yesus Kristus
• Hidupnya terus-menerus dapat mempermuliakan nama Tuhan Yesus Kristus

B.3 Belia yang memiliki komitmen yang tinggi di dalam pelayanan
2Tim. 2: 3 & 10; Kol. 3:23; 1Tim. 4:7-8; Yak. 2:14.

• Mengutamakan Tuhan dalam segala perkara
• Melakukan ibadah sebagai sesuatu yang sangat utama untuk melatih imannya bagi mendapat berkat di dunia dan di syurga
• Mengerti dan tahu segala sesuatu dimulakan, diteruskan dan diakhiri, kerana dengan izin dan kehendak Tuhan sendiri.
• Selalu senang memberikan sumbangan tenaga, idea dan kewangan gereja
• Susah senangnya gereja, dia tetap bersama-sama dan terus menjadi anggota gerejanya.
• Kesaksiannya dimateraikan dengan perbuatan dan kesungguhan dalam pelayanan

B.4 Belia yang hidupnya rela dipakai Tuhan
–Ef. 6:13-15; 1 Taw. 28:9;

• Hidup yang tertuju hanya kepada Yesus Kristus
• Rela hati dan taat kepada semua perintah dan kehendak Tuhan dalam hidupnya
• Melangkah bersama dengan rakan-rakan seiman di dalam pelayanan gerejanya
• Memiliki sukacita dalam pelayanan dan mengerti karunia yang Tuhan anugerahkan kepadanya
• Tidak pernah berasa putus asa dan patah semangat dalam melakukan yang terbaik bagi Tuhan dalam gerejanya
• Memiliki hidup yang dihormati dan dikenali baik di kalangan rakan-rakannya mahu pun teman sekerja yang lain.
• Kesaksiannya dimateraikan dengan perbuatan dan kesungguhan dalam pelayanan
• Dalam hidupnya senantiasa ingin dan rela dipakai Tuhan dalam gerejanya

B.5 Belia yang memiliki visi dan misi bagi Tuhan di dalam Gereja
Mat.28: 18-20; Kis. 13: 47.

• Menjadi saluran berkat penyelamatan kepada semua orang
• Ingin menjadi pemacu kepada kemandirian gereja
• Ingin melihat gerejanya maju dalam pelayanan dan segala bentuk prasarana gereja
• Senantiasa memandang ke hadapan bagi memenuhi keperluan pelayanan gerejanya

C. Cabaran Belia Dalam Menjadi Pemacu Kemandirian Gereja

1. Lebih dari 50% adalah belia yang masih menuntut di berbagai peringkat institusi pendidikan tinggi.

Tuntutan pelayanan untuk PCS sangat tinggi untuk ini, hampir 100% para pelajar PCS yang menuntut di Kolej, Univeristi dan institusi perguruan belum ada pelayanan PCS yang khusus di tempat-tempat tersebut. Kebanyakan anggota PCS yang merupakan pelajar di situ dilayani oleh gereja lain dan hampir 60-80% dari mereka bila selesai belajar akan menjadi anggota gereja berkenaan.

2. Sebahagian daripada belia kita mengalami krisis kerohanian, identiti dan kewargagerejaan

Kebanyakan generasi muda mempunyai pemikiran dan pandangan bahawa di mana pun dia berbakti ianya menyembah Tuhan yang sama, itu betul juga tetapi panggilan Tuhan yang pertama adalah kita merupakan anak/umat Tuhan di dalam PCS. Tanggungjawab yang diamanatkan Tuhan kepada kita adalah dalam PCS, walau pun mungkin kita dibangunkan oleh Tuhan dalam gereja lain, itu tidak bererti alasan kita untuk membelakangkan panggilan Tuhan yang semula.

3. Rasa kasih dan cintanya kepada Tuhan masih dipisahkan dengan semangat patriotiknya kepada gerejanya

Kita tahu bahawa tidak ada sesuatu dalam hidup malah dalam dunia ini yang diluar daripada kuasa dan pengetahuan Tuhan sendiri. Seharusnya dalam hidup kita, kita persembahkan kepada Tuhan, sesuatu dari dalam gereja yang dipakai-Nya untuk bangsa-bangsa kita diselamatkan, sesuatu yang dapat memuliakan dan meninggikan Tuhan dan menyenangkan hati Tuhan, pasti Tuhan bangga dengan kita, bila itu terjadi.

4. Masih dihalang oleh kekurangan dan kelemahan pelayanan gereja dan pemimpinnya

Perkara ini tidak seharusnya terjadi. Menurut pandangan kita sekarang, apa yang mereka lakukan itu sudah ketinggalan dan tidak membangun malah kita anggap merosakkan iman. Tetapi cubalah kita renungkan seketika, apakah Tuhan tidak memakai kelemahan-kelemahan itu untuk mendewasakan kita semua, kalau tidak ada biji benih, masakan ada tunas yang tumbuh?. Siapakah kita yang dapat menolak pimpinan Tuhan pada waktu pemimpin kita dan ibubapa kita yang mungkin tidak pandai menulis, berkhutbah malah kita anggap mereka sekarang ini sebagai najis kerana minum dan mabuk. Walaubagaimana pun Tuhan tetap menyertai mereka dan memberkati kita semua, sehingga ke hari ini. Generasi muda sekarang harus menjadi saluran berkat pertumbuhan dan pelayanan kasih di dalam gereja PCS ini dihadapan Tuhan. Firman Tuhan berkata, “Ingatlah bahawa kamu pun dahulunya jahil tetapi hanya oleh kasih anugerah Tuhan kita diselamatkan…jadi berusahalah untuk melakukan perbuatan yang baik dan berguna bagi semua orang… (Titus 3: 1 - 10).

5. Berpindah ke denominasi lain.

Ada kes perpindahan yang tidak dapat dielakkan dan PCS tidak pernah menghalang keadaan demikian, tetapi paling kurang kita ada kesungguhan dalam menggalas tanggungjawab dan amanat Tuhan di dalam hidup kita. Pindah denominasi bukanlah cara terbaik untuk kita membangunkan, mendewasakan dan memartabatkan Gereja PCS. Apa lagi membuka gereja baru di antara jemaat-jemaat PCS. Saya kira setiap denominasi ada saja masalah yang dihadapi, tapi saya bersyukur bila ada anggota PCS yang sudah berbakti ke denominasi lain, kita sudah bertekun dan menjadi penyembah Tuhan yang setia. Namun satu perkara perlu kita renungkan. Gereja PCS adalah amanat Tuhan kepada kita sejak dari semula, oleh itu kemungkinan besar sebagian kesukaran bertumbuh dan berdikari kerana kita yang ‘melarikan diri’ dari tanggunjawab dan panggilan Tuhan yang semula itu…(Why. 2: 4-5 & 10) kita sama-sama berdoa agar ada pertaubatan yang menyeluruh di dalam Gereja PCS ini sendiri. Tidak ada yang mustahil, bila Roh Allah turut bekerja…nantikanlah Tuhan..

D. Bagaimana Gereja Bersama dengan Belia Menghadapi Cabaran Masa kini?.

1. Pelayanan Misi atau sepertinya perlu segera diwujudkan bagi melayani Pelajar-pelajar di semua peringkat institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.

2. Kekerapan kebangunan rohani, seminar pembinaan warga gereja dan membuka pelayanan-pelayanan tertentu sesuai dengan keperluan generasi muda/belia perlu ditingkatkan. Sekali dalam satu tahun adakan Konvensyen Umum Penyegaran Iman PCS.

3. Gereja perlu mesra dan menjadi pembimbing kepada kreativiti pelayanan
generasi muda/belia dan memberi motivasi dan informasi pelayanan yang benar kepada para pelayan dan anggota PCS tentang pelayanan belia.

4. Anggota PCS dan generasi muda/belia PCS seharusnya menjadi rakan dan wakil kepada gerejanya, di mana pun dia berbakti atau melayani semasa ditempat dimana tidak ada gereja PCS dan namun masa yang sama masih tetap anggota PCS.

5. Semangat Ekumenikal yang tinggi…dan masa yang sama tetap memelihara gerejanya sendiri didalam ketaatan kepada imannya di dalam Yesus Kristus.

Kesimpulan

1. Belia pastinya menjadi pemacu bagi kemandirian gereja dalam berbagai sudut, tenaga pelayan, kerohanian/ keimanan, kewangan dan pembangunan pengurusan gereja. Kita sangat optimistik mengenai penyataan ini sebab golongan belia dalam gereja sudah banyak yang telah lahir baru, setia kepada panggilan Tuhan kepadanya, memiliki komitmen yang tinggi di dalam pelayanan dan rela dipakai Tuhan untuk mengujudnyatakan visi dan misi bagi Tuhan di dalam Gereja yang tercinta ini.

2. Mengasihi Tuhan tidak dapat dipisahkan dengan mengasihi sesama, mengasihi semua orang dan juga mengasihi gereja dimana kita telah dipanggil Tuhan menjadi anggota dari gereja tersebut, Mengasihi semua itu adalah menefestasi kepada suatu kenyataan, bahawa kita benar-benar mangasihi dan mencintai Tuhan kita Yesus Kristus.

3. Doa Yesus bahawa semua umat-Nya bersatu, sama seperti Dia dan Bapa dan Roh Kudus adalah satu… Yoh. 17: 21.

Doa

1. Tuhan akan melakukan mukzijat yang besar dengan terjadinya kebangunan rohani di dalam Gereja PCS

2. Tuhan akan memanggil dan memeteraikan dengan kasih-Nya setiap jiwa-jiwa yang berserah dan rela dipakai Tuhan dalam membangunkan Gereja PCS sama seperti gereja-gereja Tuhan di mana saja.

3. Tuhan kirimkan roh pengampunan, roh kesatuan dan roh saling mengasihi kepada semua anggota PCS di mana pun berada di seluruh Malaysia/dunia.

4. Tuhan membangkitkan generasi muda belia yang berkomitmen tinggi di dalam Gereja PCS ini, yang Tuhan mahu pakai untuk dapat merealisasikan visi dan misi gerejanya terutama untuk penyelamatan bangsa-bangsa, kemandirian gereja dari segi tenaga pelayan, pembangunan kerohanian dan kewangan.

5. Tuhan akan mengangkat Gereja PCS ini untuk dapat bersama-sama dengan gereja-gereja lain dalam terus dapat mengambil berat tentang pelayanan pertumbuhan kerajaan Allah di dunia ini, sebagai rakan dan satu keluarga di dalam Tuhan Yesus.


TUHAN MEMBERKATI. AMIN

Pengendali Blog