Saturday, October 25, 2008

Sejarah Membentuk Jati Diri

Sejarah Bangsa Yang Berpotensi untuk Pupus di Muka Bumi.

Saya belum begitu pasti apakah cukup jelas atau memadai bagi kita memahami, jika saya hanya mengambil sedikit dari kedudukan sejarah yang telah membawa kewujudan The Protestant Church in Sabah (PCS). Walaubagaimana pun saya kira ada beberapa buku sejarah yang ditulis oleh anggota PCS mahu pun para misionari yang telah membuka pelayanan PCS itu sendiri. Saya telah mendapat tahu dari Seminari Teologi Sabah melalui Dr.Daniel Gloor (Pensyarah PL&PB) bahawa baru-baru ini Sejarah PCS telah difilemkan oleh Basel Mission/Mission 21 dan sebuah buku Sejarah PCS yang ditulis oleh Pdt.Dilger telah diterbitkan. PCS sedang dalam usaha untuk mendapatkan filem dan buku berkenaan. Dari pihak BCCM juga, Pdt.Dr.Tsen Lip Siong telah menulis sejarah singkat permulaan PCS dan hubungannya dengan BCCM. Walaubagaimanapun ada beberapa catatan awal yang mendorong kepada kewujudan PCS pada akhirnya, yang telah ditulis oleh Pdt.Hans Bens sendiri di dalam diarinya dan dipetik oleh beberapa penulis kajian ilmiah bagian pendidikan teologia anggota PCS.

Pada awal tahun 1952 Pdt.Hans Bens bersama seorang kawannya seorang berbangsa Cina, yang sedang dalam perjalanan melawat keluarga-keluarga Kristian Cina di sebelah Tamalang. Pada masa itu Pdt.Hans Bens telah melihat beberapa orang Rungus yang bekerja di kebun kelapa suku Cina. Pdt.Hans Bens tidak dapat menahan diri dari tidak bertanya kepada temannya itu, mengenai orang-orang yang ditemuinya itu. Dari mana asal mereka dan bangsa apakah mereka itu?. Teman Pdt.Benz, memberitahu bahawa itu adalah bangsa yang belum dikenali, disebut sebagai ‘orang hutan’ (menurut beberapa orang Rungus yang lebih awal, orang-orang Cina memanggil mereka sebagai ‘orang yang hampir sama dengan orang utan’ –maaf mungkin ini keterlaluan tapi seperti itulah, malah lebih teruk dari itu). Menurut tulisan Pdt.Benz, ‘orang-orang hutan’ ini dikatakan oleh teman cina itu sebagai suku yang akan pupus lebih kurang 10 tahun lagi di dunia ini. Tapi Pdt.Benz mengajukan pertanyaan kepada temannya, apakah mereka boleh diberitakan Kabar Baik (Injil)? Temannya katakan, “Mereka suku yang tidak tahu membaca dan tidak tahu mengerti dan memahami, apa lagi dalam bahasa asing(bahasa cina, melayu mahu pun bahasa Inggeris), jadi lebih baiklah mereka jangan diberitahukan tentang Injil”. Tapi Pdt.Hans Benz tidak pernah berputus asa mendekati ‘orang-orang hutan’ itu. Pada suatu hari dia pergi ke suatu kampong iaitu Kg.Masangkung dan bertemu dengan sebuah keluarga Rungus di kampong tersebut dan itulah keluarga Amai OT Tuorong Sobunal. Kebetulan OT Tuorong faham sedikit bahasa Cina dan dia tahu berbahasa Melayu. Jadi apa yang dikatakan oleh teman Pdt.Benz dan Pdt.Benz boleh difahami oleh Amai OT Tuorong waktu itu. Hal itu juga memudahkan mereka untuk memberitahukan maksud dan tujuan sebenar mereka datang ke kampong tersebut. Setelah mereka berbincang dan memberitahu tujuan kehadiran mereka, Amai OT Tuorong sangat gembira dan berjanji untuk mahu bertemu mereka sekali lagi. Dari pertemuan itu Pdt.Benz telah diberitahu bahawa ‘orang-orang hutan’ itu sebenarnya adalah ‘Suku Rungus’ penduduk asal di kawasan tersebut. Bermula dari situlah Injil diberitakan di kalangan suku Rungus. Pdt.Benz telah mengajak mereka (Keluarga Amai OT Tuorong) untuk mengikuti Kebaktian Krismas Eve di Gereja BCCM Tamalang pada 24hb.Disember 1952 dan inilah tarikh yang diambil sebagai permulaan Gereja PCS. Inilah pertama kalinya dari suku Rungus masuk ke gereja dan berbakti bersama dengan suku-suku Cina. Sehingga misionari yang pertama khusus untuk orang Rungus datang iaitu Pdt.Honegger dan isterinya yang diutus oleh Basel Mission.

Saya rasa cukup sampai di sini sahaja untuk kali ini, jika ada yang ingin tahu lebih lanjut dan secara lengkap carilah buku-buku yang saya katakan diatas, mungkin diantaranya adalah dalam bahasa Malaysia dan bahasa Jerman.

PCS didaftarkan selepas perlembagaan dibuat dan diluluskan oleh dua pendaftaran iaitu Trustee dan ROS. Untuk Trustee, sijilnya dikeluarkan pada 15hb. Nov. 1967 dan untuk Trustee dibawah tiga nama, iaitu Pdt.Masandu Majupi, Pdt.Majimil Tuorong dan Pdt.Poong Shong Khon yang didaftarkan pada 11hb. October 1976.

Hubungan PCS dan BCCM.

Pada tahun 1881 Suku Cina telah mula bertapak di Lau San Kudat. Di situ mereka telah memulakan gereja BCCM. Di manakah Rungus pada masa itu?. Hampir 71 tahun barulah orang Rungus dapat dijangkau oleh Injil Yesus Kristus, pada hal Injil sebenarnya sudah ada didekat mereka pada waktu itu, mengapa begitu lama? Kalau bukan Pdt.Hans Benz memulakan pelayanan di antara suku Rungus mungkin benar apa yang orang-orang Cina katakan pada waktu itu bahawa, suku Rungus adalah bangsa yang akan pupus tidak lama lagi pada masa itu.

Selepas suku Rungus menerima Injil, mereka yang menerima Kristian masa itu mengikuti ibadah di Gereja-gereja BCCM pada masa itu. Tetapi entah bagaimana para misionari pada masa itu melihat bahawa soal bahasa merupakan kesulitan yang besar. Namun pada sisi yang lain soal kepimpinan juga dan kemajuan suku Rungus itu sendiri. Para misionari melihat selagi orang Rungus berada dibawah BCCM mereka tidak mempunyai peluang yang lebih besar untuk memajukan diri mereka. Namun kenyataan ini disangkal oleh beberapa pemimpin BCCM pada masa itu, tapi kebanyakan pemimpin BCCM menyokong perpisahan itu dengan alasan masalah soal bahasa. Oleh itu Pdt.Forshner dan Pdt.Dilger bertanggungjawab membuat peraturan dan perlembagan penubuhan PCS dan menghantarnya kepada ROS yang baru dikuatkuasakan oleh Kerajaan Malaysia pada masa itu untuk mendaftarkan semua organisasi termasuk pertubuhan keagamaan dibawah ROS. Perpisahan dengan BCCM terjadi secara rasmi pada 1967 mungkin lebih awal dari itu, dan The Protestant Church In Sabah mula berdiri di atas kaki sendiri dibawah kendalian para misionari pada masa itu yang mana Presiden Pertama PCS adalah Pdt.T.Forschner dan Presiden Pertama dari suku Rungus adalah Amai Presiden Patrick M. Madalag dari Tiga Papan.

Sebagian pemimpin BCCM terutamanya Pdt.Thu En Yu yang tidak setuju orang-orang Rungus terpisah dari BCCM telah memulakan pemberitaan Injil kepada orang-orang bumiputera di Sabah terutama kepada suku Dusun dan Murut di sekitar tahun 1976 sehinggalah sekarang. Ini juga menyebabkan hubungan semakin baik diantara PCS dan BCCM dan masa yang sama ditubuhkanlah satu joint-committee PCS-BCCM. Joint-committee ini telah berfungsi untuk membantu PCS untuk dapat mengurus pelayanan dan pentadbiran pada masa itu. Hasil dari kesepakatan joint-committee PCS-BCCM adalah Asrama Basel Kudat, Asrama Geneva Kota Marudu dan BCCM Camp Ranau. Tapi joint-committee ini telah tidak berfungsi lagi pada tahun 2000 sehingga sekarang.

Jadi boleh dikatakan BCCM adalah abang kepada PCS dimana dilahirkan dalam satu bumbung yang sama (Basel Mision) namun sekarang ‘adik’(PCS) ini telah pun memiliki rumahtangganya sendiri yang perlu dipelihara, diasuh dan diteruskan hidup keluarganya sendiri. Namun masa yang sama hubungan yang baik dengan abangnya perlu diteruskan agar kekeluargaan di dalam Tuhan dan pelayanan terus terjalin untuk kemuliaan nama Tuhan kita Yesus Kristus. Masa yang sama marilah kita saling mengampuni antara satu dengan yang lain tidak kira apa pun bangsa dan keturunan, kerana kita sama-sama telah diselamatkan oleh Tuhan yang sama iaitu Yesus Kristus.

Sekarang ini PCS telah hampir mencapai 35,000.00 anggotanya diseluruh Malaysia dan telah bertapak dikebanyakan kampong di seluruh daerah Banggi, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Paitan, Beluran, dan di bandar-bandar utama di Sabah iaitu Keningau, Kota Kinabalu, W.P. Labuan dan beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Suku-suku yang ada di dalam PCS adalah suku Rungus, Kimaragang, Tobilung, Tombonuvo, Sonsogon, Banggi, Sino-Rungus, dan beberapa dari bangsa-bangsa yang lain.

Siapakah yang dipanggil Tuhan untuk memartabatkan, mengurus dan meneruskan pelayanan dan kehidupan gereja yang baru lahir setahun jagung ini berbanding dengan gereja-gereja lain di Sabah? Marilah kita bersama-sama merenungkan perkara ini untuk kemuliaan nama Tuhan. Saya pasti PCS dibentuk bukan secara kebetulan sahaja tetapi diberikan oleh Tuhan kepada bangsa-bangsa yang ada dalamnya.

Terimakasih Tuhan kerana cinta kasih Mu telah Engkau salurkan kepada mereka-mereka yang sangat mengasihi Engkau sehingga rela berkorban meninggalkan negara mereka yang cukup senang semata-mata untuk bangsa-bangsa kami yang daif ini. Tuhan Yesus ampuni kami jika selama ini kami tidak tahu berterimakasih kepada Mu, malah selalu meninggikan hati, angku dan sombong terhadap gereja dan bangsa kami sendiri. Ampuni kami Tuhan!!! Berilah kepada kami kerendahan hati untuk dapat mengingat akan pengorbanan orang-orang yang Engkau pakai dalam membangun gereja yang Engkau pakai untuk menyelamatkan bangsa-bangsa kami. Siapakah kami Tuhan sehingga Engkau mengingat kami bangsa yang dianggap akan pupus…KASIH MU mengubah segalanya, jadikanlah kami anak-anak Tuhan yang setia dalam gereja ini, anak-anak yang dapat menyenangkan hati-Mu dan menjadi kebanggaan Mu, Tuhan…Terimakasih Tuhan..curahkanlah Roh Kudus Mu dan bekerjalah sesuai rencana dan kehendak Mu dalam Gereja PCS yang lemah dan penuh kekurangan ini. Bangkitkanlah jiwa-jiwa yang haus dan rindukan hadirat Mu sehingga gereja ini Engkau mampukan meninggikan dan mempermuliakan Engkau…Dalam nama Yesus hamba Mu berdoa..semua yang beriman bersama katakan..Amin..

Kemuliaan dan hormat hanya bagi Tuhan Yesus yang bersemayam ditempat yang tinggi!!

Pengendali Blog