Thursday, September 11, 2008

Pelayanan PCS Di Kalangan Pelajar IPTA dan IPTS

Pada Januari 2007 saya dihantar oleh Pusat untuk melayani di PCS Labuan. Saya mengakui kelemahan saya dan menerima hakikat itu dengan hati terbuka kerana saya mengakui itu sebagai ketentuan Tuhan dan itu panggilannya bagi saya dan keluarga. Saya bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi Tuhan dan bukan untuk manusia semata-mata di PCS Labuan...Tuhanlah yang menyertai saya dan keluarga selama pelayanan kami di PCS Labuan. Walau pun dengan berbagai cabaran dan godaan yang terpaksa dilalui, tapi Tuhan saya, Yesus Kristus adalah Tuhan yang sangat-sangat baik buat kami sekeluarga...persekutuan dan kerjasama yang indah dikalangan anggota jemaah di sini sangat meyakinkan saya untuk tetap setia melayani Tuhan secara fulltime. Saya terfikir untuk berubah kerjaya, kerana saya yakin mampu melakukannya untuk keluarga saya. Dalam masa yang sama ada juga pendapat-pendapat lain dari kalangan rakan-rakan sepelayanan saya, yang menganggap bahawa adalah mustahil saya keluar dari pelayanan sebagai fulltime, kerana sukar dan tidak mendapat kerja ditempat lain dan kesukaran untuk menyara keluarga yang memiliki banyak anak (tanggungan yang tinggi). Pendapat lain, "Biarkanlah dia berhenti, banyak juga pelayan yang akan ganti tempatnya".

Saya masih ingat lagi semasa saya berpindah ke Labuan, isteri saya waktu itu sedang terlantar di hospital Queen Elizabeth dan dia hanya keluar dari wad beberapa minggu selepas saya sudah ada di Labuan waktu itu. Selepas itu kami dikehendaki berulang alik dari Labuan ke KK untuk berjumpa doktor pakar, paling kurang dua kali sebulan. Waktu itu dia dirawat di Othopedik (bahagian rawatan tulang). Selepas itu setelah setahun dirawat di orthopedik kami dipindahkan ke bahagian neurologi(bahagian saraf) sehingga sekarang ini. Bulan Ogos 2008 ini dan mungkin seterusnya kami terpaksa berulang alik seminggu sekali ke Queen untuk pemeriksaan lanjut. Doktor sedar kos perjalanan dan rawatan yang kami tanggung bukan ringan bagi golongan berpendapatan seperti kami. Doktor mengadakan soal selidik mengenai keluarga kami dan dia sudah tahu pendapatan dan tanggungan keluarga saya, "Pastor, kalau begini, lebih baik saya rujuk kamu ke kebajikan hospital", katanya. "Ok, kalau itu saranan doktor, saya menurut saja", saya menanggapi saranan doktor itu. Tapi dalam hati saya, saya sangat terkilan dan terharu sekali, hampir saya menangis tetapi tidak di depan doktor, di tandas awam saya tidak tahan lagi, saya menangis dan berdoa, "Tuhan betulkah ini terjadi kepada hamba Mu". Tetapi saya berterimakasih kepada gereja PCS(Presiden, Setiuausaha dan Bendahari) sebagai majikan saya meluluskan permohonan kebajikan kami untuk membolehkan isteri saya boleh diperiksa darah yang menelan kos RM227.50. Terimakasih juga kepada anggota PCS Kota Kinabalu, Pst. Christopher, Tuan James Tahanji, Pdt.Jensey dan banyak lagi yang menyediakan kenderaan dan tempat tinggal semasa kami di KK. Sehingga sekarang kami dapat melayani seperti biasa tanpa banyak gangguan pelayanan, dan berpuas hati dan bersyukur serta hidup dengan apa yang ada.

Saya bukan menyatakan ini kerana meminta simpati atau sebarang unsur tuntutan atau ketidakpuasan hati..tidak sama sekali. Percayalah...Tuhan tahu hati saya. Hanya menyatakan dengan ikhlas, keadaan hamba-hamba Tuhan dalam PCS, bukan hanya saya seorang sahaja, mungkin. Tapi masa yang sama, saya mengoreksi pelayanan saya secara peribadi, mungkin masih ada yang Tuhan tuntut, yang tidak dapat saya jalankan atau turuti perintah-Nya selama ini dalam pelayanan. Memang ada pun, tetapi saya sendiri tidak atau belum mengerti kehendak Tuhan itu. Tanggungjawab dalam pelayanan semakin saya rasakan bilamana sedang melalui keadaan-keadaan seperti ini.

Saya sedar juga ini mengundang saya lebih bertanggungjawab terhadap pelayanan yang lebih gigih lagi di dalam jemaah yang semakin mencabar tuntutan dan keperluannya. Saya mendahului coretan dalam blog ini dengan keadaan hidup kami sekeluarga sebagai hamba Tuhan dalam Gereja PCS dan masa yang sama masih segar dalam ingatan saya rakan-rakan sepelayanan saya yang sudah lebih awal ambil cuti tanpa gaji atau yang langsung berhenti melayani secara penuh masa; Pdt. Aloi, Pdt. Sintom, Pdt. Francis, Pdt. Justin, P.Tpk.Jaikop, Pst. Joning, Pst. Maslinah, Pst. Noriah, Pst.Firton, dsb. Mereka mungkin ada alasan sendiri mengapa harus berundur dari pelayanan dan saya tidak berhak mencampuri urusan mereka. Tetapi saya harap, saya mampu bertahan sehingga pencen, doakanlah.

Belia yang merupakan pelajar-pelajar kita yang berada di unversiti hari ini adalah pemimpin masa depan dan penggerak hala tuju PCS keseluruhannya. Jadi pelayanan sangat perlu diperhatikan sebaik-baik mungkin. Terimakasih kepada beberapa pelajar PCS yang ada di beberapa universiti tempatan yang kebelakangan ini menghantar sms mahu email kepada saya. Saya menerima beberapa SMS dan e-mail dari para anggota PCS yang merupakan pelajar universiti dan kolej tempatan, mengenai beberapa perkara di antaranya; 1. Dari UMS. "Bagaimanakah bentuk berpuasa itu sebenarnya, sekarang ini saya berbakti di Hope Church dan diadakan hari berpuasa, apakah yang perlu saya buat, sebab saya tidak di ajar sebelumnya? 2. Dari UKM, "Pastor, saya bertemu dengan seorang doktor perubatan kerana saya sakit dan doktor bertanyakan tentang iman saya dan seterusnya dia bersoal jawab tentang agama. Saya jawap apa yang saya tahu, tetapi saya masih kurang yakin tentang jawapan saya, berikan saya nasihat tentang perkara itu". 3. Dari UPM, "Pastor, bagaimana pendapat Pastor bagi kami ini yang berbakti dan melayani di Gereja lain, sebab PCS Shah Alam itu jauh bagi kami? 4. Dari UUM, "Pastor kami di sini pergi ke gereja kharismatik yang ada di sekitar Universiti". Ada beberapa lagi pertanyaan dan laporan yang diterima dari berbagai tempat. Kebanyakan mereka ini yang pernah saya layani sebagai belia semasa sedang belajar di Koleh Matrikulasi Labuan (KML). Saya pasti banyak lagi pelajar-pelajar dari denominasi PCS yang berada di universiti tempatan dan mungkin diluar negara yang perlu sokongan moral, pertumbuhan iman dan layanan dari pihak Pastor dan Gereja PCS. Saya sebenarnya berasa cemburu dengan gereja-gereja lain yang berada disekitar universiti, yang dapat melayani anggota-anggotanya tanpa banyak cabaran dan kekangan ekonomi. Tapi PCS belum dapat melakukannya setakat ini, bukan tidak memperhatikan pelajar-pelajar ini tetapi kekangan tenaga dan ekonomi gereja. Saya berpendapat untuk pelajar PCS yang ada diuniversiti, tidak perlu menunggu PCS ada pelayanan atau gereja disekitar kolej atau universiti di mana mereka belajar barulah beribadah. Pelajar-pelajar PCS bolehlah beribadah digereja lain, jangan saja gereja yang sesat. Kalau di situ ada Gereja Basel, SIB, RC, Hope, Anglikan, berbakti sajalah di situ (saya katakan ini dengan hati yang berat tetapi pasrah dengan keadaan). Tetapi janganlah sampai bila sudah tamat pengajian di universiti lalu menetap di gereja itu sebagai anggota, saya merayu kembalilah ke PCS, ini gereja asal kita dan ini sangat penting bila kamu kembali. Tetapi kalau ada Gereja PCS berdekatan di sekitar universiti kamu, berbaktilah di gereja sendiri, itu lebih baik. Ini yang saya dapat sarankan sebagai Pastor PCS. Sekali lagi jangan tinggalkan PCS, gereja yang sudah dipakai Tuhan untuk menyelamatkan bangsa kita dari terus ketinggalan dan ditinggalkan oleh bangsa-bangsa yang lain.

Kepada pelajar-pelajar yang saya kasihi di dalam Tuhan Yesus, dimana pun kamu berada, Pastor harap kamu belajarlah baik-baik. Lakukan dan berikan yang terbaik untuk Tuhan, keluarga, bangsa, negara dan gereja kita PCS. Mencintai dan mengasihi Tuhan itu bererti juga, kita mengasihi diri kita, keluarga kita, bangsa kita, negara kita dan gereja kita di dalam Tuhan kita Yesus Kristus. Jayakanlah persahabatan kita di dalam Tuhan, selagi masih ada kesempatan, marilah bersahabat, marilah serikan hidup kita dengan kasih persahabatan dari Tuhan Yesus, kerana persahabatan di dalam Yesus kekal selamanya sehingga di syurga. Tuhan Memberkati kamu semua. Amin

Pengendali Blog